Peraturan menulis surat-surat karangan pada zaman kebelakangan ini telah nyatalah berubah — jauh berubahnya dari zaman yang telah lalu. Semakin Orang Melayu berambah maju dan bertambah luas medan bacaannya, daripada kitab-kitab dalam bahasa Arab atau Inggeris atau Belanda, maka semakinlah banyak gaya rentap dan alunan karangan dan tulisan mereka itu beroleh mengikut gaya dan cara karangan-karangan bahasa asing yang dibacanya itu.

Maka masing-masing gaya dan susunan karangan-karangan itu ada belaka kemanisannya atau perisanya mengikut kegemaran masing-masing pembaca. Meskipun ada jua kecualinya yang tiada suka langsung barangkali oleh sebab belum termasuk perisanya itu kepadanya.

Bangsa Melayu ialah suatu bangsa yang beramai bilangannya, berpuluh milyun bertaburan dan bernegeri di dalam Semenanjung dan di gugusan pulau-pulau Melayu. Seseorang mesti mengambil pandangan yang luas bukannya sahaja pada tentang mengaku-aku dibibir yang mereka itu sekaliannya daripada bangsa kita.

Tetapi mahulah juga kita membenarkan dan menggemarkan bahwa aturan lenggok perbahasaan dan karangan-karangan mereka itu mengikut tempat dan negeri dan keadaan mereka itu.

Kita mesti berfikiranlah jauh — jangan untuk di dalam lingkungan kerongkong dapur atau keliling bendul rumah kita sahaja.

Umpamanya, orang Johor jangan ingat yang semua Melayu dalam dunia ini ((berpuluh milyun bilangannya dan berada di bawah perintahan Siam, Belanda, Inggeris, Amerika dan sebagainya)) mesti hendak dipaksa mengikut aturan bahasa dan karangan secara Johor atau Riau.

Begitu juga orang-orang Aceh atau Bugis akan dipandang bodoh jika sekiranya didapati mereka itu mengejek-ejek atau mencacat aturan karangan orang-orang Melayu yang lain daripadanya. Kita tahu baik-baik bahwa selagi orang Perak mencacat orang Negeri Sembilan dan selagi orang Melaka memecat orang Selangor dan selagi orang Kelantan mengata orang Kedah umpamanya, maka Melayu Semenanjung tiada akan boleh maju. Bagaimana boleh maju, sebab masing-masing memikirkan tempatnya dan aturannya sahaja yang baik!

Sekarang buat di Semenanjung peraturan menulis cara tua atau kuno yang tiada berguna itu telah hampir-hampir hilang; tetapi dukacita kita menyatakan bahwa di antara bilangan umat Melayu yang tidak sampai tiga milyun di Semenanjung ini ada beberapa orang penulisnya yang dibilangkan pandai dan berpelajaran masih bermegah-megah mengatakan yang ia tidak bersetuju dengan aturan karangan dan bahasa orang-orang Melayu di sebelah Hindia Belanda yang berpuluh-puluh milyun bilangannya itu!

Saya percaya bahwa selagi Melayu Semenanjung ini mencacat Melayu Sumatera, Melayu Sumatera mencacat Melayu Jawa, Banjar mencacat Bugis dan seumpamanya, maka eloklah tak usah banyak-banyak sangat menyebut “Kemajuan” kerana “Kemajuan” itu tidak akan didapati sebelum diadakan perasaan yang baik di antara satu dengan lain.

Kita mesti fikirkan suatu itu dengan luas — jangan senantiasa sempit. Bangsa kita telah mendapat pelajaran daripada beberapa bangsa. Yang di bawah pemerintahan Belanda menulis cara aturan Belanda. Maka yang telah belajar berbelas-belas tahun tinggal di Mekah atau di Mesir itu walau sekalipun di kota lahirnya, tidakkan dapat mereka meninggalkan gaya-gaya bentuk Arab yang berpusing-pusing dalam karangan Melayunya.

Baca Juga:  Falsafah Angka dan Titimangsa Kehidupan Manusia

Demikian itu juga orang-orang yang diam di bawah perintahan Inggeris yang hendak menulis dan mengeluarkan fikirannya sebagaimana yang nampak kepada pandangannya itu tentulah payah atau tidak dapat hendak dialih-alihkannya gaya ((style)) karangannya.

Masing-masing orang adalah gaya dan lengkok caranya yang difikirkannya layak dibentangkan di hadapan pembacaan.

Ada orang menulis meliut-meliut dan beratur benar secara Melayu tua seperti yang di dalam Hikayat Seri Rama; orang menulis dengan bahasa Melayu yang sederhana, sedap dan lemak serta manis bunyinya. Ada pula orang menulis seperti gaya bercakap seolah-olah tujuannya hendak membawakan seberapa yang dapat kepada pembacanya bunyi-bunyi dan gaya-gaya hal yang diceritakannya itu,

Setengah orang karangannya boleh menyayukan hati dan ada pula yang membangkitkan gementar! Sedang yang mendatangkan gelak dan ketawa pun camik dan benci orang-orang membacanya pun tidak sedikit.

Kita tidak boleh menghukumkan seseorang supaya menulis seperti dikehendaki kita — siapa benar kita — Mussolini? Kita tidak patut mengata Bahasa Melayu Indonesia itu janggal dan tidak sedap kepada telinga kita.

Dan begitu pula mereka itu tidak patut mengatakan Bahasa Melayu kita di Semenanjung ini janggal dan buruk. Maka jikalau telinga kita belum biasa dan belum sedap mendengarnya, itulah menunjukkan kita belum jauh dan banyak penengaran. Bukan pemandangan sahaja dikatakan sempit, tetapi penengaran pun boleh jua dikatakan sempit atau tokok.

Di antara pengarang-pengarang Inggeris pun boleh kita berjumpa bermacam-macam gaya karangannya bahkan semakin banyak gaya-gaya dan stylenya,

Maka semakinlah banyak rencananya yang boleh didapati oleh pembaca-pembaca. Sir Walter Scott umpamanya sayu dan berbunga-bunga bunyi karangannya; Arnold Bennett, pendek-pendek ayatnya dan bunyi rentak orang bercakap. Demikian pula lawak dan datang-datangkan kelakar sahaja perkataannya, maka karangan-karangan Alexander Dumas yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris itu terlalu sedap tetapi berselimut dengan gaya-gaya Perancis dan perkataan Perancis. Pendeknya, beberapa banyak pengarang-pengarang kain yang masyhur namanya pada seluruh dunia ada belaka masing-masing buatnya dan masing-masing itu ada beberapa banyak orang yang suka dan gemar membacanya pada merata-rata dunia ini, walaupun ada orang berkata: Sir Rider Haggard sebaliknya ada pula yang berkata buku-buku Arnold Bennett itu bagus! Sekalian pilihannya itu terpulang kepada masing-masing pembaca mengikut perisa dan kesedapan yang telah dirasanya masing-masing!

Kita tidak sekali-kali berniat hendak supaya menjadikan Bahasa Melayu itu kacukan. Tetapi apa boleh buat! Memang nampaknya nasib kita, bangsa kita dan bahasa kita.

Baca Juga:  Lilik

Kacukan itu artinya campuran. Dalam negeri-negeri yang seperti Semenanjung dan Hindia Belanda yang bercampur-campur bangsa orangnya yang satu meniru yang lain pada tentang kemajuan dan aturan kehidupannya, tidak dapat tiada bahasa yang digunakannya tiap-tiap hari pun bercampur-campur jua walau sebagaimana sekalipun puaknya dua tiga kerat penulis berteriak menyuruh humbankan bahasa yang tidak digemarinya itu.

Tambahan pula bahasa kita memang miskin, memang kurang dan memang mencari tambah yang tokok lagi.

Oh! Kacukan yang telah lama itu jangan dibuang atau jangan dihilangkan oleh sebab mengambil kacukan yang baru. Bagaimana boleh hilang?

Tentu tidak.

Perkataan “Peperiksaan” tidak boleh hilang jika ada orang yang suka menggunakan perkataan “Matinee” dan perkataan “Office” dan perkataan “Nombor Satu” tidak boleh luput jika ada orang yang teringin hendak menulis “Nombor Wahid” tinggal lagi sebenarnya buat baru-baru ini janggal telinga mendengarnya.

Tetapi tidakkah naik basikal, naik motokar, dan naik kapal terbang itu janggal rasanya pada mulanya? Tidakkah memakai tali leher dan baju “double-breast” itu janggal mulanya pada orang yang belum biasa?

Mengapa sekarang banyak orang yang sudah suka sungguhpun kita tidak oleh cacat orang yang masih atau memang tidak suka akan pakaian-pakaian itu!

Bagaimana perasaan itu tentang memakai baju begitu jualah perasaan itu pada tentang memakai bahasa atau pada tentang membaca karangan orang.

Umpamanya karangan kita yang berkepalakan “Bertambah Bahasa Majulah Bangsa”, dahulu apabila dikeluarkan dalam Majalah Guru dan Warta Malaya ((diterbitkan di Semenanjung)), kita rasa tidak apa benar janggal bunyi susunan karangannya apabila dibandingkan dengan karangan-karangan dan gaya tulisan yang lain di dalam majalah-majalah dan suratkhabar itu.

Tetapi bila kita lihat karangan kita itu dizahirkan oleh suratkhabar “Bintang Timoer” ((disalin dari Warta Malaya — banyak salah dan tinggal perkataannya)) yang terbitnya di Betawi bersaing-bersaing dengan karangan-karangan secara yang biasa di Indonesia, maka dengan serta merta itu terasa kepada kita suatu jenis perasaan yang mengatakan bahwa tentu sekali sekalian pembaca “Bintang Timoer” di Indonesia memikirkan janggal sangat bunyi aturan dan susunan karangan kita itu. Kita tidak boleh menyalahkan mereka itu bila mereka merasa janggal, dan mereka itu pula tidak boleh menyalahkan kita sebab menulis seperti itu.

Kita mesti pandang lebih jauh dan lebih luas iaitu bangsa Melayu ramai dan jauh bertaburan di atas muka bumi yang luas yang duduknya antara lautan Pasifik dengan lautan Hindia. Kita tidak boleh ejek mereka itu sebab menulis secara Belanda dan banyak menggunakan bahasa Belanda. Begitu pula mereka itu tidak boleh mengejek kita sebab menulis secara aturan Inggeris dan menggunakan bahasa Inggeris.

Baca Juga:  Chairil Anwar

Oh! Jikalau diambil bahasa asing pun kata seorang penulis biarlah hendaknya dialih sedikit bunyinya supaya mengikut gaya lidah Melayu itu, jangan tuan-tuan pembaca gaduh! Lidah Melayu itu sendiri nanti pandai mengubahnya dengan tidak payah ditetapkan. London memang dibunyikan oleh mereka Landan dan Inspector dibunyikannya Sepitir dan Go Astern dibunyinkannya Gostan dan Puncture dibunyikannya Pancit dan sebagainya. Dengan tidak payah diajar-ajar.

Tetapi bagi orang yang berpelajaran dan tahu akan bahasa asalnya itu betul terlebih eloklah menulis atau bercakap dengan bunyi yang sehabis-habis hampir dengan bunyinya yang asal. Bahkan itulah pula tandanya dan bezanya di antara orang yang memetik sendiri dari pohonnya dengan orang yang memungut dan menyambut di tepi jalan sahaja.

Orang yang pandai Arab atau yang telah tahu sedikit tentang membaca-baca menyebut Mekah itu betul-betul mengikut bunyi asalnya. Mengapa pula hendak disuruh mereka membunyikan Mekah itu seperti orang kampung yang jahil iaitu Mokah atau Mekah atau Makah?

Maka apabila demikian adanya pada tentang perkataan-perkataan yang senang maka begitulah pula pada tentang perkatan-perkatan seperti Kolej, Universiti, Librari, yakni janganlah pula disengaja oleh orang yang pandai menyebut Kolet atau Yunibasiti atau Libreri; biarkanlah orang kampung yang keras lidahnya itu sahaja menyebut begitu. Janganlah orang yang pandai hendak mengikut orang kampung pula menyebut “Semagit” bila hendak melafazkan perkataan “Masjid”.

Lagi satu. Karangan itu ada bermacam: ada yang ditulis dengan bersungguh-sungguh iaitu dengan bunyi perkataan dan bahasa yang di dalam dan tinggi: ada pula yang sahaja diuntukkan buat seperti bercakap-cakap; ada pula bagi faedah kelakar; ada pula gunanya buat pengunjung dan pemanaskan darah sehingga setengahnya jika tidak cukup pedas, tidak cukup genta, dan tidak cukup keras, maka ditambah pula dengan bahasa asing yang memang senang dan semua Melayu boleh mengerti. Siapa yang mengatakan tidak boleh mengerti itu kita tahu mereka itu tidak bercakap betul bilanglah siang-siang dan terang-terang janggal dan benci mendengarnya. Mengapa dikata tidak mengerti?

Siapakah yang tidak boleh mengerti akan tulisan seperti di bawah ini:

Orang-orang Melayu di Semenanjung ini terlampau sempit fikirannya ((narrow-minded)). Mereka itu boros dan belum tahu akan faedah jimat dan cermat ((economy)). Segala wangnya habis dibelikannya kepada “stockings” dan “topi” dan “collar necktie” dan seluar “flannel” dan sebagainya. Tentang menuntut ilmu perniagaan dan membuka kedai seperti Cina mereka itu terlampau lambat ((slow)).

Adakalanya perkataan Inggeris yang di dalam bracket itu meluaskan lagi makna perkataan Melayu yang terdahulu daripadanya. Adakalanya pula menambah menguatkan perkataan Melayu yang dahulu daripadanya. Perkataan “Lambat” itupun sudah cukup teruk pukulannya tetapi ditambah oleh “Slow” itu lagi bolehlah dikatakan maksudnya itu lebih berat lagi.

Sebaliknya apa benarlah eloknya lagi-lagi berkokoh berpegang kepada aturan karangan yang sudah berpuluh-puluh dan beratus-ratus tahun dirasa tawarnya itu, eloklah pula biasakan mengubah-ubah rasa. Zaman ini memang zaman banyak merasa perubahan dalam serba-serbi. Orang yang tidak mahu berubah-ubah itu memang akan ditinggalkan oleh zaman. Orang-orang Hindia Belanda tidak ambil hirau apa orang-orang di sini kata di atas peraturan bahasa yang telah menjadi sedap dan manis kepadanya.

Tinggal lagi buat membawakan perasaan di antara satu dengan lain, di antara sebuah pulau dengan yang lain ataupun di antara Semenanjung ini dengan pulau-pulau sana, lioklah kita biasakan ambil mengambil, tiru meniru, pada tentang bahasa dan aturan karangan supaya lama kelamaan boleh hilang “biasa” itu oleh “biasar” dan pada akhirnya supaya hilang itu perasaan “kerongkong dapur” dan timbul perasaan yang lebih luas dan berguna ataupun terbuka “tempurung” yang menyerangkap kanak-kanak itu.

*Sumber: Malay Concordance Project

Tinggalkan Balasan